Demikianlah beberapa kaedah dasar yang
dimaksudkan perlu kita fahami dalam melihat kehendak Allah Subhanahu Wata'ala
yang telah menyediakan kepada manusia pedoman-pedoman hidup manakala di sudut
lain Allah telah menjelaskan tentang watak, kedudukan dan darjat manusia di
dalam alam jagat yang luas ini.
Sekarang marilah kita mengkaji dasar-dasar yang
di atasnya Al Quran menegakkan hubungan manusia dengan Allah Subhanahu Wata'ala
dan konsepsi hidup yang dengan sendirinya lahir dari perhubungan tersebut. Al
Quran telah menjelaskan permasalahan di atas di beberapa tempat tetapi
keseluruhan konsep hidup sebagai yang digambarkan telah tersimpul di dalam ayat
berikut:
نَّ اللّهَ اشْتَرَى
مِنَ الْمُؤْمِنِينَ أَنفُسَهُمْ وَأَمْوَالَهُم بِأَنَّ
لَهُمُ
الجَنَّةَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللّهِ فَيَقْتُلُونَ
وَيُقْتَلُونَ
وَعْدًا عَلَيْهِ حَقًّا فِي التَّوْرَاةِ وَالإِنجِيلِ وَالْقُرْآنِ
وَمَنْ
أَوْفَى بِعَهْدِهِ مِنَ اللّهِ فَاسْتَبْشِرُواْ بِبَيْعِكُمُ الَّذِي
بَايَعْتُم
بِهِ
وَذَلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ
Maksudnya: "Sesungguhnya Allah Subhanahu
Wata'ala telah membeli diri orang-orang Mu'min, jiwa-jiwa mereka dan harta
kekayaan mereka dengan menyediakan bagi mereka Al Jannah (syurga). Mereka
berperang di jalan Allah, mereka membunuh (musuh-musuh Allah) dan mereka dibunuh
(oleh musuh- musuh Allah). (Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di
dalam Taurat, Injil dan Al Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya
(selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu
lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar." (Surah Al-Taubah: ayat
111)
Dalam ayat di atas hubungan yang wujud di
antara manusia dengan Allah adalah atas landasan IMAN (perilaku yang penuh sedar
meletakkan kepercayaan kepada Allah) telah dipanggil 'penjualan'. Ini bermakna
bahawa beriman dengan Allah bukanlah satu konsep metafisik semata-mata; ia
merupakan satu corak 'perjanjian' dalam mana manusia menyerahkan seluruh
kehidupan dan harta miliknya kepada Allah dengan mendapat tukaran syurga yang
telah dijanjikan baginya di Akhirat nanti. Dapatlah dikatakan bahawa Allah
memberi kehidupan dan harta milik orang-orang yang beriman serta berjanji dengan
hanya balasan adalah Syurga bagi kehidupan sesudah mati. Konsep 'penjualan' ini
mempunyai natijah yang amat penting dan dengan demikian kita mestilah terlebih
dahulu memahami watak dan maknanya dengan sejelas-jelasnya.
Kedudukan sebenar perkara ini ialah bahawa
setiap benda di dalam dunia ini adalah milik Allah Subhanahu Wata'ala. Dialah
Pemilik sebenar bagi segala benda. Dengan demikian kehidupan manusia dengan
segala kekayaannya juga adalah milik Allah kerana Dialah yang mencipta mereka
dan memberikan tanggungjawab kepada setiap insan menggunakan benda-benda itu
(dengan cara yang hak). Melihat permasalahan dari sudut ini, sebarang persoalan
mengenai jualan dan belian tidak timbul sama-sekali. Allah adalah pemilik
sebenarnya. Oleh yang demikian tidak timbul persoalan Ia membeli sesuatu yang
telah memang menjadi miliknya. Sebaliknya manusia bukanlah pemilik sebenar
segala yang dimaksudkan dan dengan demikian manusia tidak mempunyai apa-apa hak
untuk menjualnya.
Namun demikian ada satu perkara yang Allah
kurniakan kepada manusia, yang sekarang menjadi milik penuh untuk dirinya iaitu
'kebebasan ikhtiar'; kebebasan untuk mengikuti atau mengingkari jalan Allah.
Oleh kerana manusia telah dikurniakan dengan kebebasan itu dia adalah bebas
untuk mengakui atau tidak kebenaran sesuatu perkara. Sekalipun manusia mempunyai
kebebasan kehendak dan kuasa memilih, ini tidaklah bermakna ia menjadi pemilik
sebenar segala tenaga dan sumber yang dikuasainya, juga tidak bermakna ia boleh
menggunakannya mengikuti kemahuan dirinya sendiri sama sepertimana pengakuan
atau penolakan sesuatu kebenaran itu tidak akan memberi bekas kepada kebebasan
itu, begitulah 'kebebasan' itu bererti ia bebas mengakui atau menolak kedaulatan
Allah Subhanahu Wata'ala ke atas kehidupan dan harta bendanya. Sebaliknya dia
meletakkan dirinya sendiri untuk bertindak secara mutlak.
Jika ia mahu berbuat demikian ia boleh
menganggap dirinya bebas dari sebarang ikatan peraturan dengan Allah dan boleh
berfikir bahawa ia menikmati hak-hak dan kekuasaan secara mutlak ke atas semua
perkara yang dimilikinya dan dengan semikian ia boleh menggunakan segala-galanya
itu menurut kehendaknya sendiri tanpa terikat dengan mana-mana peraturan yang
lebih tinggi darinya. Di sinilah sebenarnya timbul masalah 'jualan' tadi.
Penjualan itu tidak bermakna bahawa Allah memberi sesuatu yang dimiliki oleh
manusia. Inilah watak yang sebenarnya.
Semua makhluk adalah kepunyaan Allah tetapi la
telah mengurniakan barang-barang tertentu kepada manusia untuk digunakan sebagai
satu amanah dariNya. Dan manusia telah diberikan kebebasan untuk menunaikan
amanah Allah itu secara jujur atau kalau dia disukainya dia akan menyalahgunakan
dan berbuat derhaka terhadap Allah.
Allah telah menuntut agar manusia dengan rela
(tanpa sebarang tekanan dan paksaan) sanggup segala barang-barang tadi sebagai
milikNya dan wajib menggunakannya sebagai satu amanah dari Allah dan bukan
mengganggapnya sebagai hak milik pensendirian yang boleh digunakan mengikut
kehendak hatinya. Oleh yang demikian manusia yang secara sukarela menolak
kebebasan itu malah menolak kekuasaan tertinggi dari Allah dan sebagai ganti
pengakuannya terhadap kekuasaan Allah tentulah dapat dikatakan dia telah menjual
autonominya (yang juga merupakan suatu kurniaan dari Allah dan bukanlah sesuatu
yang manusia memperolehinya dari dirinya sendiri) kepada Allah, dan sebagai
balasan yang telah Allah janjikan ia menerima balasan Syurga yang kekal
abadi.
Seseorang yang melakukan penjualan seperti itu
adalah seorang Mu'min dan IMAN adalah gelaran yang diberikan oleh Islam kepada
'iqrar setia' ini, sementara sesiapa yang memilih untuk tidak memasuki 'iqrar
setia' ini dan mengambil satu jalan yang berlawanan dengan Islam, maka ini
bererti batallah perjanjiannya dengan Allah dan ia adalah KAFIR dan percubaannya
mengkhianati atau meleburkan janjinya dengan Allah itu diistilah sebagai
KUFUR.
Itu adalah bentuk 'ikatan'. Sekarang marilah
kita mengkaji secara ringkas berbagai-bagai aspek dan
ketentuan-ketentuannya:
1. Allah Subhanahu Wata'ala menguji kita dengan
dugaan-dugaan yang hebat dalam dua perkara:
a) Ia telah membiarkan manusia hidup bebas.
Namun demikian setelah diberi kebebasan ia ingin melihat samada manusia itu
menyedari kedudukannya atau tidak; samada ia masih jujur dan bersikap gagah dan
memelihara kesetiaannya kepada Allah atau ia kehilangan pedoman dengan
memberontak terhadap Penciptanya; atau ia bergelagat sebagai suatu jiwa yang
mulia atau memijak-mijak nilai-nilai budisusila dan melakukan penipuan-penipuan
sehingga Malaikat-Malaikat menangis kepiluan lantaran jelek dan ngeri
budinya.
b) Dia (Allah) ingin melihat sama ada manusia
bersedia untuk yakin kepada Allah yang menawarkan kehidupan dan harta
kekayaannya dengan balasan-balasan yang telah dijanjikan bagi kehidupan di Hari
Akhirat dan Allah ingin melihat sama ada ia bersedia atau tidak untuk rela patuh
menyerahkan kuasa autonomi dan segala kemanisan dan kelazatannya dengan
merelakan dirinya menerima balasan janji sebagai bekal masa depannya.
2. Ia adalah menjadi satu prinsip hukum Islam
yang telah diterima bahawa IMAN merupakan kepahitan dan ketaatan kepada satu
rangkai ajaran (doktrines) dan sesiapa saja yang berpegang kepada ajaran-ajaran
tersebut mereka menjadi seorang yang Mu'min. Tidak ada siapa pun yang berhak
mencela mereka sebagai orang yang tidak beriman atau pun mengeluarkan mereka
dari ikatan kesatuan ummah, kecualilah kalau terdapat bukti-bukti yang jelas
tentang kepalsuan dan pengingkaran iman mereka. Ini adalah aspek hukum kepada
masalah tersebut. Tetapi pada pandangan Allah Subhanahu Wata'ala IMAN itu
mempunyai nilai hanya apabila kemahuan dan pilihan manusia itu tunduk patuh
sepenuhnya kepada perintahNya. Di sinilah terletaknya pemikiran dan tindakan di
mana diri manusia patuh mentaati sepenuhnya kepada Allah dengan menafikan
runtunan nafsu dan ketinggian dirinya. Ini adalah sesuatu yang datangnya dari
sudut hati sanubari. Inilah satu sikap oleh orang yang waras dan punya
persediaan dalam sesuatu tindakan tertentu.
Jika seseorang itu mengungkapkan Kalimah
Shahadatain membuat iqrar mentaati ajaran Allah, malah mengerjakan sembahyang
dan melakukan lain-lain ibadat tetapi di dalam hatinya ia masih mempunyai rasa
dialah yang berhak ke atas dirinya dan dialah juga yang menguasai dan menentukan
kekuatan anggota tubuh badan dan daya pemikirannya; dan dengan akhlaq dan sumber
kebendaannya dia menggunakan semua itu mengikut kehendaknya dan terus bersikap
degil melayani pegangannya sebabnya banyak manusia sekalipun melihatnya sebagai
Mu'min, Allah tetap tidak melihatnya sebagai Mu'min malah ia, tidaklah termasuk
dalam tawaran penjualan yang disebut oleh Allah di dalam kitab Suci Al Quran
kerana perilaku demikian tidak langsung mengandungi unsur-unsur IMAN.
Kalau seorang manusia itu tidak menggunakan
kuasa dan sumber-sumber mengikut jalan yang telah diperintahkan oleh Allah malah
dia menggunakan dengan cara dan untuk tujuan yang terlarang, maka tindakan
demikian jelas sekali ia tidak menjanjikan kehidupan dan hartanya kepada Allah
atau kalau pun telah dijanjikannya, dia mengkhianati perjanjian tersebut dengan
amalan-amalan atau perbuatan- perbuatannya sendiri.
3. Watak Iman membuatkan cara hidup Islam
berkerja dan sangat berbeza dari cara hidup yang bukan Islam. Seorang Muslim
yang benar IMANnya kepada Allah, membentuk seluruh aspek hidupnya patuh mentaati
kehendak Allah. Seluruh hidupnya adalah satu pengabdian dan kepatuhan dan
dirinya tidak bertindak laku dengan cara yang angkuh atau mengikut jalan sendiri
kecuali ia melakukannya dalam keadaan terlupa. Tetapi selepas kembali sedar ia
segera bermohon keampunan kepada Allah dan bertaubat dari kesalahannya. Begitu
juga sekumpulan manusia atau masyarakat yang dianggotai oleh orang yang
benar-benar beriman tidak akan menyimpang dari undang-undang Tuhan mereka.
Peraturan-peraturan politik, system undang- undang dan strategi antarabangsanya
mestilah segala-galanya selaras dengan alasan-alasan pimpinan yang telah
diwahyukan oleh Allah Subhanahu Wata'ala dan mestilah tidak sedikitpun
berlawanan denganNya. Dan kalaulah terjadi kesalahan atau tertinggal mana
bahagian ia mestilah dibetulkan segera bila disedari dan kembali kepada
garis-garis yang telah ditentukan oleh Allah. Hanya golongan kafir sahaja yang
merasa lepas bebas dari pimpinan Tuhan dan bertindak sesuka hati mengikut
kemahuan. Barangsiapa bertindak atas dasar demikian, sekalipun mempunyai gelaran
nama yang sama dengan seorang Islam (Muslim), ia adalah seorang yang mengikuti
jejak Syaitan dan mengikuti jalan golongan-golongan orang yang KAFIR.
4. Kehendak Tuhan, yang berkewajipan untuk
diikuti oleh manusia, adalah satu-satunya yang Tuhan sendiri telah mewahyukan
sebagai petunjuk kepada manusia. Kehendak Allah itu bukanlah hak manusia untuk
menentukannya. Tuhan sendiri telah menyatakannya secara jelas dan tiada keraguan
mengenainya. Oleh yang demikian kalaulah seorang atau sesuatu atau sesuatu
masyarakat itu jujur, mulia dan tegas dalam perjanjian dengan Allah, ia
berkewajiban membentuk seluruh segi kehidupannya menurut (peraturan- peraturan
yang termaktub dalam) Kitab Allah dan Sunnah RasulNya Sallallahu 'Alaihi
Wasallam dengan satu pandangan yang mudah akan dapat dilihat bahawa semua
aspek-aspek dan ketentuan-ketentuan ini secara logiknya sudah terkandung di
dalam penjualan itu dan adalah nyata sekali dari perbincangan di atas mengapa
bayaran 'harga' itu ditangguh hingga kepada Hari selepas kematian (kehidupan di
Alam Akhirat).
Syurga bukanlah anugerah kerana pengakuan Iman
semata-mata tetapi ia adalah satu anugerah sebagai balasan kepada perlaksanaan
dari pengakuan iman yang telah diiqrarkan. Jika tidak perjanjian itu ditunai
sepenuhnya dan tabiat hidupnya benar telah serasi dengan persyaratan 'janji'
maka ia tidak berhak kepada balasan sedemikian. Oleh itu tindakan terakhir dari
'penjualan' itu dikira hanya pada waktu-waktu akhir kehidupan si penjual dan
adalah sesuatu pembalasan diberikan untuknya di alam Akhirat.
Satu lagi perkara penting akan timbul dari
pengkajian Ayat (Al Qur'an) yang tersebut apabila ianya dibaca dengan merujuk
perkara yang berhubungan. Dalam ayat-ayat lain yang mendahuluinya, rujukan telah
dibuat kepada orang-orang yang mengaku diri mereka beriman dan berjanji untuk
setia dalam mentaati Allah, tetapi apabila tiba ujian-ujian daripada Allah
terbuktilah kepalsuan pengakuan mereka. Sebahagian dari mereka cuai dengan
panggilan waktu malah ada yang mengkhianati perjuangan Islam. Manakala
sebahagian yang lain pula bersikap munafiq dan enggan untuk mengorbankan
kesenangan dan kemewahan hidup mereka demi perjuangan di jalan Allah.
Selepas menjelaskan tentang hal-hal orang
seperti ini dan mengecam sifat yang tidak ikhlas dan pura-pura itu Al Quran
telah menjelaskan bahawa IMAN adalah satu 'perjanjian' - yakni satu bentuk janji
dari manusia kepada Allah. Ianya bukanlah semata-mata pengakuan percaya kepada
Allah. Ianya adalah satu pengakuan bahawa hanya Allah sahaja Tuhan kita, Dialah
yang menjadi Pemerintah Tertinggi, Penguasa dan seluruh benda yang ada pada
manusia termasuk kehidupannya adalah milik Allah dan dengan demikian manusia
berkewajipan mengguna benda-benda tersebut mengikut ketetapan dari Allah. Jika
seseorang Muslim mengambil sesuatu peraturan lain yang bertentangan dengan
Islam, dia sudah tidak lagi berlaku jujur dehgan iqrar keimanannya. Orang-orang
yang benar IMANnya ialah orang-orang yang menjual seluruh hidupnya dan apa saja
yang dimilikinya kepada Allah dan orang-orang yang mengikuti segala perintah
Allah dalam semua bidang kegiatan. Mereka mempertaruhkan segala-segala yang ada
dalam menegakkan perintah- perintah Allah dan tidak sedikitpun menyimpang dari
jalan dan ketaatan kepada Allah Rabul 'Alamin. Itulah sahaja orang-orang yang
benar-benar beriman.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar